Isnin, 19 Ogos 2013

SAMBUTAN KEMERDEKAAN

Persiapan Merdeka
      Pada saat kegembiraan mengecapi nikmat merdeka, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sedar yang ia kini akan berhadapan dengan cabaran paling besar iaitu mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Negara terpaksa berdikari menggunakan segala sumber negara yang ada dengan sebaik mungkin bagi mengisi kemerdekaan yang telah dicapai. Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dalam ucapannya di radio pada 8 Julai 1957, 'marilah kita sambut hari kemerdekaan dengan ramai meriah supaya akan terjalin di dalam sejarah kita, suatu peringatan yang murni iaitu kemerdekaan yang kita peroleh ini tidak dengan menumpahkan darah'.
      Langkah terawal kerajaan ialah memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat tentang erti kemerdekaan. Ini bagi menangkis pelbagai desus-desus dan dakyah yang timbul berikutan kemerdekaan negara. Program penerangan ini diharapkan dapat memupuk perasaan mehibah antara kaum supaya kemakmuran dan faedah yang jitu daripada kemerdekaan negara dapat dinikmati bersama. Dalam pada itu, sebagai sebuah negara yang akan memperoleh kemerdekaan, penonjolan identiti negara amat penting diberi penekanan. Melalui inisiatif Tunku Abdul Rahman, lagu kebangsaan negara telah dicipta dan bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dicipta dan dikibarkan pada tahun 1950, telah diterima pakai sebagai bendera rasmi. Beberapa prasarana fizikal juga dibina serentak dengan persiapan-persiapan untuk menyambut kemerdekaan.
      Ekoran daripada usaha kerajaan untuk mendapatkan lokasi yang paling sesuai untuk upacara pengisytiharan kemerdekaan negara, stadium yang sedang dirancang pembinaannya untuk kegiatan sukan sejak tahun 1955 menjadi lokasi yang terbaik. Stadium yang menelan belanja mencapai 2.3 juta dinamakan Stadium Merdeka yang telah dirasmikan pada 30 Ogos iaitu sehari sebelum upacara pengisytiharan kemerdekaan negara.
    Untuk membiayai sebahagian acara perayaan sambutan kemerdekaan negara yang telah dirancang,  sebuah tabung yang dinamakan Tabung Perayaan Merdeka telah ditubuhkan oleh kerajaa. Terdapat pelbagai cara digunakan untuk tujuan kutipan derma ini. Di Parit, Perak, misalnya, persembahan sandiwara telah diadakan di seluruh kampung. Malah sijil kemerdekaan yang berharga $5 dan $10 setiap satu turut dikeluarkan.
       Siaran-siaran radio saban hari menyiarkan pelbagai lagu-lagu kebangsaan dan patriotik yang baru dicipta oleh penggubah lagu khusus untuk sambutan hari kemerdekaan. Lagu-lagu seperti Hari Kemerdekaan,  Melayu Raya, dan Saat Bahagia adalah antara lagu yang kerap disiarkan. Keghairahan orang ramai yang ingin menyambut kemerdekaan negara dapat dilihat apabila tiket-tiket Keretapi Tanah Melayu habis ditempah. Malah Hotel Federal yang baru dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman pada 26 Ogos juga telah penuh ditempah. Pegawai dan kakitangan kerajaan turut menerima gaji seminggu lebih awal bagi memberi peluang kepada mereka untuk merayakan hari kemerdekaan. Bagi pekerja-pekerja kilang, ladang dan lombong, cuti bergaji diberi pada 31 Ogos supaya mereka dapat turut bersama dalam perayaan bersejarah itu.